AMALAN MENENANGKAN JIWA
Setiap kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia bukan ujian  semata-mata tetapi juga untuk mendekatkan kita dengan-Nya.

BERSIHKAN diri dan jiwa dengan  ayat-ayat suci al-Quran.

DALAM kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada menghadapi  masalah. Kebiasaannya timbul akibat daripada pelbagai punca sama ada  kerana diri sendiri atau orang lain. Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: ‘Allah  meringankan bagi mu peraturan-peraturan agama dan manusia itu dijadikan  bersifat lemah‘- surah al-Nisa’:8.
 Perlakuan manusia yang menghadapi  masalah berkaitan dengan pelbagai tindakan seperti kurangnya rasa sabar  dalam diri, sentiasa gopoh gapah, suka bantah-membantah serta  menyalahkan satu sama lain, rasa putus asa, tidak wujud rasa syukur,  manusia mudah lupa dan sebagainya.
Beberapa kaedah penyucian jiwa kita perlu lakukan di mana  sebahagiannya memang telah menjadi amalan sebahagian umat Islam saban  hari. Antara amalannya seperti:
*Solat wajib dan solat sunat (solat Tahajud, solat Taubat, solat  Hajat, solat Tasbih atau solat Awwabin).
*Puasa wajib dan puasa sunat.
*Mengeluarkan zakat (fitrah dan harta benda).
*Menunaikan haji.
*Membaca al-Quran (Jika tidak memahami, baca maknanya).
*Berzikir dalam bentuk perkataan dan hati.
*Bertafakur.
*Sentiasa mengingati mati dan hari akhirat.
*Muhasabah diri.
*Jihad, selalu amalkan perkara baik amar makruf dan jauhi kerja buruk  nahi mungkar.
*Tawaduk’ dan sifat qanaah (berpada-pada).
*Ketahui dan sedari cara menghalang godaan syaitan dalam jiwa.
*Ketahui cara menghindar penyakit hati.
Sebagai contoh, dengan melakukan solat-solat sunat, hikmahnya adalah  boleh membimbing untuk pembentukan kecemerlangan diri atau insan kamil,  dapat membina personaliti dan tingkah laku mulia.

AMALAN berzikir mendekatkan diri  kepada  Allah.
Boleh mendekatkan diri dan menjalin hubungan dengan Allah.  Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk. Praktik yang baik untuk  pengurusan masa. Melatih diri untuk berakhlak atau berdisiplin dan  bermoral dan melatih diri untuk memberi tumpuan kepada sesuatu perkara.
Dengan menjalani ibadah puasa, hikmahnya adalah seperti:
*Menjadi benteng kepada godaan syaitan atau iblis dan perisai  terhadap kejahatan.
*Latihan untuk mendisiplinkan diri.
*Memupuk sikap sabar.
*Mewujudkan rasa insaf.
*Menimbulkan kekuatan untuk menundukkan nafsu.
Dengan berzikir, berdoa dan beristighfar, hikmahnya adalah untuk  membersihkan diri daripada dosa dan maksiat, untuk mendapat keampunan  Allah, untuk mendapat ketenangan batin, keikhlasan hati, meningkatkan  kecintaan kepada Allah dan berupaya melindungi diri daripada melakukan  dosa.
Malah, Allah telah menegaskan hikmah berdoa dan berzikir dalam  firmannya yang membawa maksud ‘…dan Tuhan kamu berfirman,  ‘berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu‘-  surah al-Mukmin : 60, dan ‘Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku,  nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian’ -surah al-Baqarah: 168.
Dengan bertafakur, hikmahnya adalah seperti:
*Penyuluh untuk mengenal diri dan pencipta.
*Mendorong penjelajahan fikiran.
*Pemusatan tumpuan untuk meneliti tahap personaliti dan tingkah laku.
*Mendorong untuk celik akal.
*Mewujudkan kesedaran kendiri.
*Berupaya membuahkan sikap amanah dan jujur.
Firman Allah yang bermaksud, ‘Mereka yang mengingati Allah baik di  waktu berdiri, duduk dan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian  langit dan bumi seraya berkata, wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau  menjadikan ini dengan sia-sia‘ – surah ali-Imran : 191.
Sebenarnya kehidupan ini kita tidak boleh lari dari menghampiri diri  dan sentiasa mendapat bantuan dan perlindungan Allah. Dalam mengharungi  kehidupan kita perlulah menghadapi pelbagai cabaran dan menghadapi  kegagalan dan rasa putus asa dengan penuh kesedaran.
Allahurabbi..bantulah kami menjadi hamba Mu yang redha dan sabar atas segala ujian dari Mu.
No comments:
Post a Comment