Wednesday, June 11, 2014

Meleraikan Pergaduhan Si Kecil

               

pergaduhan

Kadang kala sedang asyik anak kecil anda bermain dengan temannya, tiba-tiba terdengar suara salah seorang menangis. Ia adalah perkara normal yang berlaku dalam kehidupan mereka setiap hari. Jangan terkejut dengan hal ini, sebaliknya bersikap rasional untuk mengendalikannya.

Dalam proses tumbesaran dan bersosial, kanak-kanak kecil akan sekali-sekala bergaduh, terutamanya apabila mereka berasa bosan atau letih. Kanak-kanak lelaki biasanya lebih agresif daripada kanak-kanak perempuan.  Apabila pergaduhan tidak terkawal, libatkan diri anda dengan segera. Antaranya, anda boleh lakukan langkah-langkah berikut :

*Asingkan kanak-kanak yang bergaduh.

*Alihkan perhatian mereka dengan memperkenalkan permainan lain atau mengalihkan perhatian mereka.

*Jangan menyebelahi sesiapa. Hampir mustahil untuk menentukan siapa yang betul dan salah dalam sebarang situasi.

Kadangkala ada kanak-kanak yang boleh bertindak agresif seperti menggigit lawannya dalam pergaduhan itu. Jadi anda perlu memberi perhatian kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa gigitan itu. Alihkan kanak-kanak yang menggigit itu dengan serta-merta dan letakkannya di suatu tempat lain, selamat dan bersendirian selama lima belas minit.

Semasa pertama kali bermain dengan kawan-kawan, mungkin anak anda cenderung untuk merampas atau merentap sesuatu barang apabila dia mula bermain buat pertama kali. Apabila berhadapan dengan situasi ini, anda hendaklah membantunnya belajar berkongsi dan lebih bersikap baik hati terhadap orang lain.

Mungkin ada kanak-kanak lain akan terus berkasar dan bersikap agresif, dan perangai mereka akan menyebabkan mereka tidak diminati dan sukar untuk disukai. Oleh itu untuk kebaikan anak anda, bantulah kanak-kanak itu untuk bersikap baik dengan orang lain.

*Berikannya suatu contoh yang baik untuk diikutinya dengan sentiasa berlemah lembut, bersabar dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya.

*Pastikan anda menjelaskan kepada anak melalui tindakan anda bahawa perangainya yang anda tidak suka, bukan dirinya.

*Sentiasa libatkan diri dan hentikan anak anda dengan serta-merta apabila dia mula memukul kanak-kanak lain. Bersikap tegas tetapi jangan berteriak atau bertindak agresif.

*Jangan sekali-kali membiarkannya melakukan caranya sendiri dengan berkelakuan agresif atau tidak baik. Sekiranya dia berjaya dengan caranya, dia akan cenderung bersikap sedemikian.

Semoga kita semua sebagai ibu bapa terus sabar dalam mendidik anak-anak syurga ini.

Perubahan Warna Kulit Ketika Hamil

              

warna

Perubahan ketika mengandung bukan sahaja berlaku secara emosional. Perasaan tidak selesa, mudah marah, mual, loya dan bermacam lagi perubahan yang dirasakan secara fizikal dan emosional cuba diadaptasi oleh bakal ibu.

Bagaimanapun tidak semua bakal ibu mengalami perubahan yang sama. Ada yang bernasib baik langsung tidak mengalami keadaan tidak selesa sepanjang kehamilan. Ada pula yang perlu mengharungi kesukaran sepanjang sembilan bulan kehamilan tetapi biasanya ramai yang perlu melalui perubahan tidak selesa pada trimester pertama sahaja.

Hampir majoriti wanita hamil akan mengalami perubahan biasa seperti loya, mual dan muntah. Namun ada banyak lagi perubahan lain yang mungkin tidak berpengaruh kepada diri anda tetapi berlaku kepada wanita hamil lain.

Salah satunya adalah perubahan warna kulit di beberapa bahagian tubuh badan. Ada wanita hamil yang mengadu pelik melihat berlaku perubahan warna kulit di beberapa bahagian badan mereka seperti ketiak, celak paha, leher bahkan muka. Ia pastinya sesuatu yang kurang menyenangkan terutama sekiranya anda memiliki jenis kulit cerah namun ketika hamil, kulit menjadi gelap dan kusam.

Tetapi jangan bimbang kerana ia hanya perubahan hormon dan biasanya akan berakhir selepas anda melahirkan bayi. Bagaimanapun perubahan pada warna kulit yang terjadi kepada hampir semua wanita hamil adalah kulit areola payu dara menjadi lebih gelap berbanding sebelumnya. Ia adalah perkara normal akibat perubahan hormon badan kerana anda hamil.

Bahkan wujudnya titik-titik pada kawasan areola yang semakin jelas jika disentuh. Puting payu dara juga semakin meregang sebagai persediaan untuk menyusukan bayi kelak. Di samping itu, jika anda perhatikan bahagian organ seksual anda turut mengalami perubahan warna menjadi merah muda keungguan.

Tidur Telentang Ketika Hamil

               

telentang

“Aduh, sakitnya badan nak bangun,” adu Mila yang hamil enam bulan setiap kali hendak bangun daripada pembaringan.

Benarkah wanita hamil akan merasa sakit tatkala hendak bangun daripada pembaringan? Apakah posisi tidur yang sesuai untuk wanita hamil? Posisi telentang, meniarap atau pun mengiring?

Jika sebelum hamil, kita selesa dengan posisi tidur menelentang, tetapi ketika hamil posisi ini biasanya antara yang paling tidak digemari. Namun ada juga ibu yang masih boleh tidur dalam posisi tersebut tanpa masalah.

Bagaimanapun, ibu hamil disarankan tidak tidur telentang ketika hamil terutama apabila sudah masuk trimester ke-2 kehamilan. Ketika ini perut ibu semakin membesar. Posisi tidur telentang akan menyebabkan berat uterus menekan pada rahim sehingga menyebabkan seolah-olah semua berat tertumpu pada perut.

Keadaan ini akan membuatkan ibu berasa sesak nafas dan tidak selesa. Keadaan ini boleh mengancam kesihatan janin bahkan lebih teruk ia boleh mengganggu peredaran darah dan nutrisi ke plasenta. Seterusnya ia boleh mengganggu perkembangan janin dalam rahim. Apatah lagi sekiranya ibu mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Ibu disarankan tidur dalam keadaan mengiring. Ia sememangnya posisi tidur paling selesa ketika hamil. Sekiranya anda masih berasa letih dan tidak selesa alihkan kedudukan ke kiri dan kanan, asalkan tidak telentang.

Untuk menambah keselesaan, tambahkan sebiji bantal di bawah punggung. Bukan ibu sahaja boleh tidur lena, bayi juga akan berada dalam keadaan sihat dalam kandungan.

Tip Pantas Ibu Berkerjaya

               

ibu

Bergelar ibu berkerjaya memang mencabar. Banyak yang hendak diuruskan, keperluan suami, anak-anak dan rumah tangga semuanya sama penting. Pasti setiap ibu punya cara tersendiri memastikan semuanya terurus rapi.
 
Semoga panduan berikut mampu membantu ibu-ibu berkerjaya menjadi bertambah hebat dalam pengurusan rumah tangga dan kerjaya.
 
Tip menyediakan sarapan
 
*Sediakan menu ringkas berasaskan roti  seperti roti bakar, sandwic, telur hancur, telur separuh masak, bijirin bersama susu atau nasi goreng.
 
Tip menyediakan makan malam
 
*Rancang menu masakan untuk seminggu lebih awal. Ia dapat menjimatkan masa untuk berfikir dan membuat persediaan bahan-bahan.
*Bagi memendekkan waktu memasak, pastikan semua bahan masakan disediakan lebih awal. Buat stok cili kisar, segala bawang, daging, ayam, ikan siap disiang dan dinyahbeku.
*Sediakan hanya dua menu untuk makan malam hari bekerja iaitu berasaskan daging, ayam atau ikan bersama sayur.
*Masak hidangan lauk yang mudah dimasak seperti ikan stim, isi ayam masak masam manis, daging masak kicap atau ikan goreng. Untuk sayur pula, tumis, masakk sup atau salad sayuran.
 
Tip menggosok pakaian
 
*Gosok pakaian pada hujung minggu untuk kegunaan seminggu.
*Gantung pakaian yang sudah digosok berasingan bagi mengurangkan kedutan.
Tip mengemas rumah
*Sapu dan kemas barang-barang yang bersepah setiap hari.
*Kemas rumah setelah anak-anak kecil tidur bagi mengelakkan mereka membuat sepah lagi.
*Di hujung minggu, buat jadual mengemas yang berat seperti vakum, mop lantai, cuci bilik air dan mengelap habuk almari.
*Sediakan bakul atau tempat menyimpan barang mainan anak supaya lebih teratur dan mudah disimpan.
 
Tip mencuci pakaian
 
*Cuci pakaian kotor dan setiap hari untuk mengelakkan daripada mencuci terlalu banyak pada waktu cuti dan terus sidai sebelum masuk tidur.
* Lipat pakaian kering segera dengan bantuan suami dan anak-anak untuk mengelakkan ia bertimbun lebih banyak dan berkedut.
 
Biarpun sibuk dengan urusan kerja-kerja rumah jangan abaikan anak-anak yang perlukan perhatian. Luangkan masa sekurang-kurangnya satu jam dengan anak-anak. Pelukan, ciuman dan berbual-bual dengan mereka sambil membuat kerja membantu mengeratkan hubungan ibu dan anak. Pastikan sebelum tidur anda bercerita atau membacakan buku cerita untuk mereka.
 
Semoga dapat membantu para ibu sekalian yang sentiasa sibuk :)