“Aduh, sakitnya badan nak bangun,” adu Mila yang hamil enam bulan setiap kali hendak bangun daripada pembaringan.

Benarkah wanita hamil akan merasa sakit tatkala hendak bangun daripada pembaringan? Apakah posisi tidur yang sesuai untuk wanita hamil? Posisi telentang, meniarap atau pun mengiring?

Jika sebelum hamil, kita selesa dengan posisi tidur menelentang, tetapi ketika hamil posisi ini biasanya antara yang paling tidak digemari. Namun ada juga ibu yang masih boleh tidur dalam posisi tersebut tanpa masalah.

Bagaimanapun, ibu hamil disarankan tidak tidur telentang ketika hamil terutama apabila sudah masuk trimester ke-2 kehamilan. Ketika ini perut ibu semakin membesar. Posisi tidur telentang akan menyebabkan berat uterus menekan pada rahim sehingga menyebabkan seolah-olah semua berat tertumpu pada perut.

Keadaan ini akan membuatkan ibu berasa sesak nafas dan tidak selesa. Keadaan ini boleh mengancam kesihatan janin bahkan lebih teruk ia boleh mengganggu peredaran darah dan nutrisi ke plasenta. Seterusnya ia boleh mengganggu perkembangan janin dalam rahim. Apatah lagi sekiranya ibu mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Ibu disarankan tidur dalam keadaan mengiring. Ia sememangnya posisi tidur paling selesa ketika hamil. Sekiranya anda masih berasa letih dan tidak selesa alihkan kedudukan ke kiri dan kanan, asalkan tidak telentang.

Untuk menambah keselesaan, tambahkan sebiji bantal di bawah punggung. Bukan ibu sahaja boleh tidur lena, bayi juga akan berada dalam keadaan sihat dalam kandungan.